Penubuhan Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan pemberian kerakyatan asing terus disokong

KOTA KINABALU: Gesaan pelbagai pihak berhubung penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan mengenai dakwaan warga asing diberi kerakyatan membolehkan mereka menjadi pengundi khususnya di negeri terus mendapat sokongan.

Ketua Biro Persatuan Anak Negeri Sabah (Pansa) Tuaran Ibrahim Ali Umar, ketika mengulas cadangan itu berpendapat, penubuhan suruhanjaya terbabit perlu demi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan yang kini menjadi buah mulut.

“Sekurang-kurangnya dengan penubuhan suruhanjaya ini, rakyat mendapat jawapan berasaskan sumber bertanggungjawab dan bukannya daripada pihak berkepentingan atau mereka yang cuba menangguk di air keruh,” ujarnya.

Sebelum ini beberapa pihak antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah (kecuali Umno) dan juga parti pembangkang turut menyatakan desakan berhubung penubuhan suruhanjaya berkenaan.

Pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang turut dikenali sebagai ‘Projek IC’ didakwa dilakukan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an secara rahsia dan bersepadu bertujuan mengubah demografi Sabah supaya penduduknya menyokong sebuah parti dikaitkan kerajaan pada masa itu.

Sehubungan itu Ibrahim menegaskan dengan penubuhan suruhanjaya terbabit, tidak ada alasan untuk meragui keputusan diperolehi kelak seterusnya menghalang daripada kekeliruan berlarutan dalam kalangan rayat.

“Kita tidak mahu dakwaan itu terus menjadi teka-teki lebih-lebih lagi perkara itu sudah menjadi persoalan rakyat,” tambahnya.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dipengerusikan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dalam laporannya baru-baru ini turut mengemukakan syor sama selepas mengakui menerima banyak aduan berhubung ‘Projek IC’ semasa pendengaran awam diadakan di sini, sebelumnya.

Laporan itu dipetik menyatakan, walaupun perkara berkenaan meliputi ruang yang luas dan di luar terma rujukan jawatankuasa berkenaan, PSC mencadangkan pembentukan sebuah suruhanjaya Diraja sebagai penyelesaian jangka panjang.

NewSabahTimes 10th December, 2011