Showing posts with label Info Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Info Kesihatan. Show all posts

Pemakanan untuk tulang sihat


MAKAN, satu nikmat kehidupan bagi kebanyakan daripada kita tetapi makanan juga penting dan menjadi keperluan hidup. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa tulang kita juga merupakan tisu hidup yang perlukan makanannya tersendiri untuk terus ‘hidup’!

Sambil kita berjalan, melompat dan berlari, tulang kita turut melalui kitaran terhakis dan terbina semula dengan sendirinya.

Seperti mana kita memerlukan makanan untuk terus hidup, tulang juga perlu diberikan nutrien yang diperlukannya untuk menggantikan tulang yang terhakis.

Tahukah anda apa hidangan hebat untuk tulang? Kalsium dan vitamin D.

“Kalsium bukan sahaja penting untuk pembentukan tulang tetapi turut digunakan dalam fungsi badan lain seperti penyenggaraan saraf dan otot.

“Badan kita juga akan mengambil kalsium dari tulang apabila berlaku kekurangan bekalan kalsium,” jelas Dr Winnie Chee, pakar diet dan Setiausaha Kehormat Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL).

*Pentingnya vitamin D

Vitamin D membantu dalam penyerapan kalsium. Sesungguhnya, badan kita menghasilkan Vitamin D apabila didedahkan kepada cahaya matahari.

Jadi janganlah takut untuk menghabiskan sedikit masa di bawah matahari kerana ianya baik untuk tulang anda!

Namun begitu, anda perlu mengelak daripada pengambilan (kalsium dan pendedahan kepada cahaya matahari) berlebihan.

Seperti perkara lain dalam hidup, amalkan kesederhanaan supaya anda dapat memenuhi keperluan tanpa perlu menghadapi kesan sampingan yang tidak sepatutnya.

Pengambilan kalsium perlu menepati cadangan pengambilan harian anda. Tahap umur yang berbeza memerlukan jumlah kalsium yang berlainan.

Berapa banyak yang anda perlukan setiap hari? Anda boleh merujuk kepada cadangan pengambilan nutrien untuk kalsium dalam jadual berikut:

Bagi orang dewasa, anda memerlukan kira-kira 800 miligram (mg) hingga 1,000 mg kalsium setiap hari.

Macam susah, bukan? Tetapi meminum segelas susu sehari (240 ml) sudah menyumbang kira-kira 250 ke 500 mg pengambilan kalsium harian anda. Dan susu bukan satu-satunya sumber kalsium yang sedia ada!

“Anda juga boleh mendapat kalsium dari makanan seperti sayuran hijau dan berdaun seperti kai lan dan pak choy Cina, produk berasaskan soya seperti taufu fah dan ikan bertulang lembut yang boleh dimakan seperti sardin dalam tin dan ikan bilis,” kata Dr. Chee.

Dan jangan lupa semua makanan bukan susu yang diperkaya dengan kalsium yang mudah didapati di pasaran hari ini.

Kini, banyak minuman jus oren, malt dan yogurt, dan tidak lupa juga bijirin sarapan, biskut dan roti yang diperkaya dengan kalsium.

Jadi memang terdapat banyak pilihan sewaktu memilih makanan yang kaya dengan kalsium. Tetapi ingat, bukan kalsium saja yang kita perlukan.

Nutrien lain turut menyumbang kepada kesihatan tulang. Malah, mengambil cuma sejenis hidangan saja amat membosankan.

Jadi, tambah selera anda dengan hidangan seimbang setiap hari dengan merujuk kepada piramid makanan.

Bijirin perlu membentuk asas diet anda. Ambil dari sumber seperti nasi, roti dan bijirin dan pilihlah yang diperkaya dengan kalsium yang baik untuk tulang. Dan teruskan dengan mengambil lima hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari.

“Tulang kita sentiasa terhapus dan terbina dengan sendirinya dalam proses yang dipanggil pembentukan semula tulang.

“Tetapi, apabila mencapai umur 50 tahun, kemerosotan tulang atau penghapusan berlaku lebih cepat dari pembentukannya.

“Kajian menunjukkan individu yang mengambil banyak buah-buahan dan sayuran dalam diet mereka mempunyai kadar kehilangan tulang yang lebih perlahan dan kurang keretakan akibat osteoporosis,” jelas Dr. Chee.

Kumpulan seterusnya dalam menu piramid makanan adalah makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan, ayam itik dan legum.

Dua hingga tiga sajian sehari cukup untuk keperluan harian anda.

Dan sudah tentu, lengkapkan hidangan sihat dengan satu hingga dua sajian produk berasaskan susu seperti susu dan keju setiap hari untuk tambahan kalsium.

Akhir sekali, cuba kekalkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak pada tahap minimum.

Dr. Chee turut menggalakkan pengurangan pengambilan gula dan kafein. Menurutnya, pengambilan garam dan kafein yang berlebihan meningkatkan kehilangan kalsium dalam air kencing, dan akan digantikan dengan pengambilan kalsium dari ‘tabung simpanan badan’ - tulang anda sendiri!

Berat badan juga turut memainkan peranan dalam penjagaan tulang. Kekalkan berat badan yang ideal kerana malnutrisi bukan saja menjejaskan kesihatan tetapi tulang juga.

Elakkan tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti anoreksia, bulimia dan makan mengikut perasaan. Ianya tidak sihat dan merampas semua nikmat makanan yang dari lidah anda.

Siapa sangka menjaga tulang boleh juga memberikan nikmat hidup, bukan? Anda makan makanan yang enak dan berkhasiat dan pada masa yang sama menjaga tulang anda!

Dan semuanya bermula dengan kesedaran bahawa tulang juga perlu makan, sama seperti semua benda hidup yang lain.

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL) ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands Sdn. Bhd. dan Rottapharm Madaus. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat (Ultra Works) di talian 03-56300791 atau 03-56301668.

Bakteria H.Pylori dan Kanser Perut


Mudah cegah kanser perut





SESETENGAH pakar perubatan menganggap kanser perut atau kanser gastrik sebagai penyakit penduduk Asia berikutan catatan kes tinggi di Jepun, Korea, China dan Hong Kong — berkali ganda jumlahnya berbanding pesakit di Barat. Bahkan di Malaysia, kebanyakan kes kanser perut berlaku di kalangan pesakit berketurunan Cina.
Malangnya kanser perut, terutama pada peringkat awal, sering disalah anggap sebagai gastrik kerana kedua-duanya mempunyai gejala lebih kurang sama. Kanser perut adalah kanser malignan (yang boleh merebak) berasal daripada lapisan pelapik dalam perut.

Jenis kanser perut dikelaskan mengikut jenis tisu di mana sel kanser bermula; dan paling biasa (90 peratus) ialah adenokarsinoma — bermula daripada tisu glandular atau tisu pelapik. Jenis kanser perut lain ialah limfoma (membabitkan sistem limfa) dan sarkoma (bermula pada tisu penyambung seperti otot, lemak atau salur darah).

Kanser perut dikaitkan dengan pengambilan makanan banyak garam, contohnya jeruk sayur yang menjadi sajian wajib penduduk Jepun dan Korea tetapi sehingga kini, tiada kajian dilakukan untuk mengesahkan dakwaan itu.

Punca sebenar kanser perut masih tidak diketahui tetapi penyelidik dan pakar perubatan percaya ia ada kaitan rapat dengan jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori), kata Perunding Pembedahan Gastrointestin, Dr Ramesh Gurunathan.

Menurut Dr Ramesh, kanser perut menduduki tangga ketujuh daripada 10 kanser paling biasa di negara kita dengan anggaran 1,400 penduduk Malaysia mendapat kanser ini setiap tahun. Ia boleh berlaku pada sesiapa saja tetapi paling kerap dilaporkan di kalangan lelaki berumur 45 tahun ke atas. Jumlah kes paling tinggi dicatat ialah pesakit Cina (65 peratus) diikuti pesakit Melayu (25 peratus) dan India (10 peratus).

“Oleh kerana gejala peringkat awal kanser perut lebih kurang sama dengan gastrik, kebanyakan pesakit tidak memandang serius perkara ini. Ramai menyangka mereka mengalami gastrik dan membeli ubat di farmasi. Memang ubat gastrik boleh menghilangkan gejala sakit perut tetapi ia hanya sementara. Gejala sakit perut ini akan datang balik apabila pengambilan ubat dihentikan.

“Jangkitan H pylori mempunyai kaitan sangat rapat dengan kanser perut. Banyak kes kanser perut di Jepun disebabkan jangkitan bakteria ini. Bakteria H pylori dikelaskan sebagai karsinogen kelas pertama yang boleh menyebabkan kanser perut tetapi berita baiknya, ia mudah dirawat dengan pengambilan antibiotik dan rawatan hanya mengambil masa seminggu,” katanya.

Bakteria H pylori boleh tersebar melalui dua kaedah iaitu kitaran najis-ke-mulut atau mulut-ke-mulut. Dalam kaedah pertama, bakteria daripada najis boleh tersebar jika pembawa tidak mencuci tangan dengan bersih atau melalui air dan makanan tercemar. Kaedah kedua pula melalui air liur pembawa apabila terkena tangan, makanan atau air.

Jangkitan bakteria ini juga ada kaitan rapat dengan cara hidup seperti tinggal di tempat sesak, berkongsi katil dan kurang kebersihan.

Tidak seperti bakteria lain yang akan mati dalam keadaan berasid, bakteria H pylori boleh hidup dengan baik di dalam perut manusia. Ia membiak dan menyebabkan keradangan yang akhirnya merosakkan sel epitilium iaitu lapisan sel pada perut kita.

Lama-kelamaan keradangan ini semakin teruk dan mengakibatkan gastritis serta penyakit ulser dalam perut jika tidak dirawat segera. Walaupun badan menghasilkan antibodi, ia masih tidak berupaya menghapuskan bakteria ini dan jika dibiarkan, ia boleh mengakibatkan kanser perut.

Gejala awal kanser perut mempunyai kesamaan dengan gastrik iaitu:



  • Perut berasa kembung dan tidak selesa


  • Mual

  • Hilang selera makan

  • Pedih ulu hati

  • Mengalami masalah pencernaan (tidak hadam)


    Pada peringkat lebih serius, pesakit boleh mengalami gejala seperti:


  • Rasa tidak selesa pada bahagian atas abdomen (perut)

  • Najis mengandungi darah atau berwarna gelap kehitaman

  • Muntah (boleh mengandungi darah)

  • Berat badan menurun

  • Perut rasa kembung dan tidak selesa selepas makan

  • Ada benjolan pada abdomen (kadang kala)

  • Badan lemah akibat kurang darah (anemia)


    Siapa yang berisiko mendapat kanser perut? Semua orang boleh mendapat penyakit ini tetapi risiko lebih tinggi jika:

  • Lelaki (dua kali ganda berbanding perempuan)

  • Kurang mengambil sumber serat (sayur dan buah)

  • Mengamalkan pemakanan yang tinggi kandungan garam, jeruk atau bahan pengawet

  • Mengalami keradangan gastrik yang kronik

  • Pernah mengalami masalah polip gastrik

  • Mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser perut (yang boleh menyebabkan risiko menjadi dua atau tiga kali ganda)

  • Merokok

  • Mengambil terlalu banyak minuman beralkohol

    Diagnosis dan rawatan

    Menurut Dr Ramesh, biasanya kanser perut dikesan menerusi pemeriksaan fizikal. Pesakit mungkin mengalami gejala bengkak pada nodus limfa atau hati, peningkatan kandungan cecair dalam abdomen atau ada benjolan pada abdomen. Pemeriksaan biasanya dibuat berdasarkan aduan ketidakselesaan pesakit dan antara ujian dilakukan ialah:

  • Ujian sinar-X pada esofagus (kerongkong), perut dan bahagian pertama usus kecil selepas pesakit minum cecair pembeza untuk memudahkan doktor membuat pemerhatian

  • Gastroskopi dan biopsi — doktor akan melihat keadaan dalam perut menggunakan alat dipanggil gastroskop (dimasukkan melalui mulut ke dalam perut). Jika didapati ada yang tidak normal, doktor akan mengambil sedikit tisu pada bahagian itu untuk diperiksa. Ini kaedah terbaik untuk mengenal pasti kanser perut.

    Rawatan untuk kanser perut membabitkan beberapa kaedah sama ada pembedahan, kemoterapi dan radioterapi atau gabungan kaedah ini. Kanser perut pada umumnya sukar disembuhkan kecuali jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal sebelum ia merebak.

    Malangnya, kerana gejala peringkat awal kanser perut sering disalah anggap sebagai gastrik, kebanyakan kes hanya dikesan apabila kanser sudah teruk atau merebak ke bahagian lain badan.

    “Dalam pembedahan, biasanya doktor membuang bahagian perut yang diserang kanser. Namun, ia bergantung kepada lokasi kanser. Jika sel kanser di bahagian bawah perut, dua pertiga daripada perut akan dibuang. Jika kanser di bahagian atas perut, keseluruhan perut dibuang,” katanya.

    Bagaimanapun, pesakit tidak perlu risau kerana mereka masih boleh menjalani hidup dengan baik walaupun tiada perut. Perut adalah tempat pencernaan makanan berlaku. Apabila makanan masuk ke dalam perut, ia dihancurkan dan dipecahkan. Tidak perlu risau berlaku kekurangan zat kerana kebanyakan zat diserap apabila makanan memasuki usus kecil.

    Yang perlu dilakukan pesakit ialah mengubah tabiat makan dengan makan sedikit tetapi kerap. Melalui cara ini, makanan terus sampai ke usus dan penyerapan zat boleh berlaku seperti biasa.

    Oleh kerana kanser usus sukar disembuhkan, ada pakar mencadangkan supaya dilakukan saringan untuk kanser perut (dengan kaedah endoskopi) tetapi di negara kita, ia tidak praktikal kerana setiap ujian membabitkan kos tinggi iaitu RM800 hingga RM1,000 selain bilangan pakar sangat terhad.

    Kaedah lebih baik ialah mencegah jangkitan H pylori kerana ia secara tidak langsung mengurangkan risiko mendapat kanser perut.

    Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan H pylori ialah tidak berkongsi sudu, garfu atau kayu penyepit. Jika makan berhidang, sediakan senduk untuk setiap hidangan dan jangan ambil makanan menggunakan sudu untuk makan serta elak mengunyahkan makanan untuk anak kecil kerana ia boleh menjadi laluan pintas untuk jangkitan bakteria ini.
  • Tanda & Gejala Stres

    Fizikal 
    • Gementar 
    • Berpeluh 
    • Rasa Seram sejuk 
    • Tangan dan kaki rasa sejuk 
    • Sakit kepala atau rasa mual/nak muntah 
    • Bernafas laju 
    • Kering mulut 
    • Kerap buang air kecil 
    • Kerap buang air besar 
    • Cirit Birit 
    • Kurang selera makan 
    • Mudah dapat serangan penyakit: 
    • Asma 
    • Sakit belakang badan 
    • Masalah penghadaman 
    • Sakit kepala 
    • Gatal-gatal 
    • Masalah hubungan kelamin contoh kurang minat melakukan hubungan seksual 
    • Sakit-sakit badan 
    • Cepat letih 
    Psikologikal
    • Kebimbangan 
    • Keliru dan kurang daya tumpuan 
    • Sukar kawalan diri 
    • Perubahan emosi: 
    • Tekanan perasaan 
    • Kekecewaan 
    • Mewujudkan permusuhan 
    • Rasa tak berdaya 
    • Kurang sabar dan cepat marah 
    • Lemah Semangat 
    • Susah nak tidur 
    • Mudah terpengaruh mengambil bahan yang terlarang seperti dadah dan arak 
    Gangguan Fikiran
    • Sukar membuat keputusan 
    • Kurang minat terhadap aktiviti harian 
    • Tidak merasa tercabar terhadap situasi yang sukar 
    • Pemikiran positif terganggu disebabkan 
    • Sering berfikiran negatif
    • Kurang memberi perhatian
    • Hilang keyakinan diri 
    • Hilang tumpuan 
    • Penurunan kekuatan mental dalam menghadapi perasaan bingung, takut, kecewa dan cepat marah 
    Tingkahlaku
    • Bercakap dengan cepat dan kuat 
    • Menguap 
    • suka gigit jari, mengetap bibir, kerap mengerakkan jari, letih 
    • Perasaan yang negatif: 
    • Mudah tersinggung 
    • Terlalu bergantung kepada orang lain 
    • Suka memberi komen dan kritik orang lain 
    • Boleh bertindak ganas 
    • Bertindak secara tidak logik 
    • Bertindak keterlaluan dan terlalu beremosi 
    • Kurang Kecekapan diri: 
    • Mudah lupa 
    • Selalu membuat kesilapan 
    • Sering terlibat kemalangan 
    • Kurang produktiviti kerja 
    • Menindakkan keupayaan diri sendiri 
    Punca stres 

    Stres Ancaman (survival) : 

    Berlaku apabila anda berada dalam keadaan terancam samada dari segi emosi, fizikal dan perasaan seperti takut untuk mengatasi ancaman yang sedang dihadapi.

    Stres dalam diri sendiri:

    Di mana anda adalah seorang yang mempunyai personaliti Jenis A iaitu bercita-cita terlalu tinggi, berkehendakkan kesempurnaan dalam semua kerja, terlalu mementingkan kerja dan mengharapkan hasil yang tinggi. .

    Apabila anda terlalu mengharapkan kesempurnaan yang sukar dicapai. Lima harapan kesempurnaan yang tidak realistik oleh seseorang itu adalah: 


    • Anda mengharapakan orang lain mengkagumi dan menyayangi anda 
    • Anda menggagap diri anda kompeten setiap masa 
    • Anda mempercayai orang lain yang menyebabkan segala kegagalan anda 
    • Anda mengharapkan setiap kerja yang di hasilkan adalah sempurna yang dikehendaki oleh anda dan orang lain perlu mengikut kata-kata anda 
    • Anda mempercayai pengalaman buruk yang lepas akan mempengaruhi masa depan anda 
    Stres persekitaran tempat kerja anda 
    • Stres disebabkan persekitaran 
    • Ruang tempat kerja yang sempit 
    • Ruang dan keadaan kerja yang tidak sesuai 
    • Bising 
    • Kawasan yang kotor dan tidak selesa 
    • Pencemaran 
    • Pengurusan persekitaran yang tidak cekap 

    Stres disebabkan bahan kimia dan pemakanan 

    "Caffeine" boleh menyebabkan hormon stres dalam badan anda meningkat, sukar hendak tidur dan menyebabkan anda tidak selesa
    Peningkatan kandungan gula dalam darah dari pengambilan makanan yang manis dan choklat boleh memberi tenaga berlebihan kepada diri anda dalam masa yang singkat. Keadaan ini menyebabkan badan anda menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengimbangi kadungan gula itu . Ia boleh memberi kesan ke atas penurunan tenaga yang mendadak selepas kenaikan kadar gula yang tinggi
    Pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan meletakkan badan anda mengalami stres disebabkan berlebihan bahan kimia.

    Stres disebabkan Cara Hidup dan Pekerjaan

    Faktor yang menyumbang kepada stres jenis ini ialah: 
    • Beban kerja yang tinggi atau terlalu kurang 
    • Dibebani oleh tanggungjawab di luar keupayaan dan pengalaman anda 
    • Menghadapi banyak rintangan yang tidak sepatutnya diselesaikan oleh anda 
    • Tekanan dari segi masa dan tarikh luput kerja yang perlu disiapkan 
    • Kurang kemampuan untuk mengikuti peredaran masa 
    • Perubahan dasar dan prosedur di tempat kerja 
    • Kurang mendapat maklumat, nasihat dan sokongan yang bersesuaian 
    • Tidak jelas tentang objektif yang hendak dicapai 
    • Tidak jelas tentang kehendak ketua terhadap peranan anda 
    • Dibebani dengan tanggungjawab terhadap orang bawahan, sumber kewangan dan peralatan 
    • Tekanan perkembangan kerjaya seperti: 
    • Dalam tempoh percubaan, kecewa dan jemu terhadap pekerjaan sekarang 
    • Kenaikan pangkat di luar kemampuan diri 
    • Tidak jelas tentang perkembangan kerjaya pada masa akan datang 
    • Tiada peluang kenaikan pangkat 
    • Tiada jaminan pekerjaan 
    • Tekanan daripada organisasi atau pelanggan seperti 
    • Tekanan dari pihak atasan 
    • Campurtangan terhadap bidang tugas 
    • Tuntutan berlebihan daripada pelanggan 
    • Gangguan terhadap perancangan kerja 
    • Ganguan telefon 
    • Tekanan atas diri sendiri dan keluarga seperti: 
    • Masalah kewangan 
    • Masalah hubungan dengan keluarga 
    • Penyakit yang dialami 
    • Perubahan hidup seperti kelahiran, kematian, perkhawinan dan penceraian 
    Komplikasi

    Dalam jangka masa panjang, stres boleh memberi kesan yang teruk kepada diri anda. Anda perlu mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini, sekiranya tidak, ia akan memberi kesan kepada diri anda seperti berikut:
    • Mudah keletihan dan cepat penat 
    • Kekecewaan 
    • Hilang semangat ( "burn out" ) 
    Pencegahan
    • Anda perlu menerima kenyataan yang anda sedang mengalami stres 
    • Anda perlu kenalpasti punca yang menyebabkan anda stres 
    • Pelajarilah teknik dan kaedah pengurusan stres. 
    • Sekiranya tiada perubahan dalam masalah stres yang anda hadapi selepas tiga minggu anda amalkan teknik dan pengurusan stres yang disarankan ini, berjumpalah dengan pakar dan dapatkan bantuan mereka 

    Kunci Kesihatan Sepanjang Hayat


    Apabila anda sakit, anda akan berjumpa doktor. Sudah tentu doktor akan memberi anda ubat. Anda makan ubat tersebut dengan harapan anda akan sihat semula. Beginilah bagaimana perjalanan perkhidmatan kesihatan sekarang, satu kitaran diagnosa dan preskrepsi.

    Anda telah mendengarnya sebelum ini tetapi saya akan mengulanginya. Pencegahan lebih baik dari pengubatan. Namun anda mungkin tidak memberi perhatian kepadanya. Walau bagaimana pun sekiranya anda melihat dengan lebih dekat saranan doktor, ia akan membawa kepada kesimpulan bahawa mereka sebenarnya ingin mengesan sesuatu penyakit dengan lebih awal. Cuba renungkan. Renungkan bahawa makna sebenar pencegahan adalah menahan sesuatu dari berlaku.

    Langkah pertama ke arah kesihatan yang lebih baik untuk menyedari bahawa tubuh anda memerlukan penjagaan. Perkara kedua ialah mendapatkan maklumat. Adalah sukar untuk menjaga tubuh anda sekiranya anda tidak tahu apa-apa mengenainya. Bagaimana anda boleh melawan musuh sekiranya anda tidak memahami kenapa dan bagaimana ia bertindak?

    Tahukah anda bahawa setiap dari kita dibekalkan dengan sistem pertahanan yang mampu melindungi diri kita dari sebarang penyakit? Sistem yang kompleks ini dianugerahkan kepada kita oleh yang Maha Pencipta dan dikenali sebagai sistem imun tubuh. Sistem imun tubuh bekerja pada setiap saat tanpa henti bagi melindungi diri kita dari serangan berbagai mikro organisma yang boleh menyebabkan berbagai jenis penyakit. Serangan tersebut bukan hanya datang dari luar malah dari dalam tubuh kita sendiri. Setiap hari kita berdepan dengan serangan mikro organisma yang terdiri dari berjuta jenis bakteria, beratus ribu jenis kulat, 130 lebih parasit dan lebih dari dua ribu jenis virus. Selain dari itu terdapat lebih dari dua ratus jenis sel kanser dan setiap dari kita terdedah kepada serangannya.

    Justeru dalam setiap saat kehidupan kita, yang memisahkan kita dengan kematian adalah sistem imun. Jangkitan berulang atau jangkitan kronik, walaupun hanya demam selsema merupakan tanda sistem imun sudah mulai lemah. Adakah anda juga tahu bahawa sistem imun kita menjadi semakin lemah apabila usia kita semakin meningkat? Faktor yang melemahkan sistem imun termasuklah tidak cukup rihat, stres, makanan berproses, pertanian moden (makanan hilang khasiat), bahan kimia dalam persekitaran (racun perosak, racun rumput rumpai).Memperkasakan sistem imun merupakan langkah penting untuk membina pertahanan bagi melawan penyakit dan mengurangkan kemungkinan mendapat demam, selsema, kencing manis atau kanser dll.

    Sistem imun yang tidak berfungsi dengan baik, sama ada terlebih atau terkurang tindakbalas, boleh membawa kepada berbagai jenis penyakit. Sebagai contoh, terlebih tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit auto-imun seperti diabetes jenis 1, artritis reumatoid, slerosis berganda dan lupus. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit seperti kanser, HIV, hepatitis dan kayap. Terlebih tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada penyakit di bawah kategori alahan seperti rinitis, lelah, ekzema dan sinusitis. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada infeksi.

    Memperkasakan sistem imun merupakan pelaburan terbaik untuk kehidupan yang lebih panjang dan kesihatan sepanjang hayat. Ramai yang percaya bahawa makanan seimbang boleh membantu kita mengekalkan kesihatan. Apa yang sebenarnya anda faham mengenai makanan seimbang? Renungkan fakta berikut:

    Di abad ini terdapat lebih 75,000 bahan kimia sintetik dalam persekitaran, yang tidak pernah wujud sebelum 1940.

    Buah-buahan biasanya dipetik ketika belum masak, ini membuatkan nutrien yang tak ternilai belum sempat terhasil. Selepas dipetik, proses tersebut terhenti.

    Sayur-sayuran dicemari racun makhluk perosak. Perlu dibersih berulang kali untuk membuang racun dan proses ini membuatkan nutrien hilang.

    Antibiotik dan hormon pertumbuhan digunakan dalam penghasilan daging, ayam dan hasil tenusu.

    Makanan diproses dengan menggunakan pewarna tiruan, perisa tiruan dan bahan pengawet.

    Udara dan sumber air juga turut tercemar.

    Pengurusan Stress

     DEFINASI STRESS

    1. Berasal dari perkataan yang "Eustress" yang membawa maksud :

    (a) Boleh menyesuaikan diri
    (b) Stress yang membina

    2. Ia juga berasal daripada perkataan "Distress" yang bermaksud:

    (a) Tidak boleh menyesuaikan diri
    (b) Boleh merosakkan diri

    Oleh itu, Stress ialah situasi yang menganggu atau membina kehidupan seharian

    MENGURUS STRESS

    Stress adalah perkara yang sering berlaku kepada manusia yang normal. Oleh yang demikian untuk mental yang sihat maka kita perlu mengetahui kaedah atau cara-cara untuk mengurus stress dengan berkesan. Oleh yang demikian untuk mengurus stress dinyatakan di sini beberapa perkara yang boleh diaplikasikan oleh pelajar. Stress perlu diurus dengan baik. Jika ia tidak diurus diragui kita akan mengalami perkara-perkara yang tidak baik. Secara umumnya antara perkara-perkara yang perlu diketahui adalah seperti berikut:

    (a) Riadah

    Riadah merupakan satu keperluan di dalam hidup manusia. Dengan bersukan badan menjadi sihat. Fizikal menjadi lebih mantap, pernafasan menjadi lebih baik. Apabila kita beriadah kita menjadi lebih segar dan tenteram. Apabila kita beriadah bersama rakan-rakan kita selalunya merasa gembira dan hubungan sesama kawan-kawan dapat megurangkan stress.

    (b) Ganjaran Diri

    Penghargaan diri perlu dilakukan oleh pelajar-pelajar. Kita berikan dalam bentuk kata-kata intrapersonal. Setiap tindakan yang baik yang kita lakukan, kita sendiri yang memberikan penghargaan tersebut. Ganjaran diri ini dilakukan dengan menyatakan bahawa kita juga mempunyai bakat dan potensi yang cemerlang, kerana itulah kita berhak cemerlang. Sehubungan itu ia dapat mengurangkan stress dalam diri.

    (c) Percakapan diri yang membina

    Percakapan diri membawa maksud kita bercakap di dalam diri iaitu menggunakan komunikasi intrapersonal. Kita boleh melakukannya. Tentu ada rahsia disebalik kejayaan tersebut. Dengan kemahiran pendidikan serta pengetahuan yang ada pada kita, kita dapat melakukan sebagaimana orang yang telah berjaya dapat melakukannya. Jika ini dilaksanakan kita sudah ada jalan keluar dari kongkongan stress. Ini mengelakkkan kita daripada hanya mempunyai impian tanpa ada apa-apa tindakan atau daya juang. Percakapan diri boleh membantu diri kita.

    (d) Kerja kemasyarakatan dan kebajikan

    Manusia adalah insan sosial. Manusia saling berhubung dengan insan yang lain. Kerja-kerja kemasyarakatan dan berbentuk kebajikan perlu dilaksanakan untuk mengurus stress. Jika sekarang kita lihat badan-badan bukan kerajaan yang berperanan membina kumpulan masyarakat yang bahagia. Bagi pelajar aktiviti badan beruniform adalah satu kaedah terbaik mengurus stress. Kita juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti amal sama ada di dalam kawasan sekolah atau luar sekolah. Sumbangan kepada sekolah misalnya dapat membawa implikasi yang besar dalam hidup pelajar.

    (e) Penulisan

    Bagi individu yang merasakan bahawa mereka tidak cenderung untuk memasuki badan-badan beruniform dan kecemerlangan mereka adalah dengan puisi, sajak, cerpen dan sebagainya. Maka kaedah yang terbaik untuk mengurus stress ialah dengan melaksanakan aktiviti penulisan. Luahkan segala apa yang terbuku dalam perasaan kepada bentuk penulisan. Luahkan perasaan yang terpendam dalam bentuk yang lebih kreatif dan dinamik. Kaedah penulisan ini sememangnya membawa erti yang besar iaitu membina bakat dan potensi kita. Dengan itu kita dapat mengurus stress dalam corak yang lebih baik.

    (f) Berjenaka

    Jenaka adalah perkara yang lumrah dalam masyarakat kita. Manusia sering berjenaka. Rasulullah s.a.w selalu berjenaka dengan isteri-isterinya. Ini adalah fitrah manusia yang suka kepada jenaka dengan baik dan mengikut lunas-lunas agama, budaya dan nilai masyarakat. Jenaka ini adalah bertujuan untuk menghilangkan masalah yang mana masalah itu merupakan rentetan dari stress yang timbul.

    (g) Ketenangan ( Bebaskan Diri )

    Setiap pelajar perlukan ketenangan dalam hal-hal tertentu. Ketenangan perlu dicari. Kaedah yang dimaksudkan ini ialah apabila kita berada dalam keadaan stress, maka carilah tempat yang jauh dari kebisingan dan orang ramai dan di tempat itu melaunglah sekuat hati dan sepuas-puasnya tentang apa-apa yang mahu dilaungkan sebagi contoh 'Ah... ... ..'. Namun begitu laungan tersebut jangan hingga melanggar batas-batas agama dan norma masyarakat. Laungan ini sebenarnya dapat membebaskan ketegangan yang terkumpul di dalam diri.

    (h) Meninjau orang yang kurang bernasib baik

    Keinginan manusia yang tinggi seperti yang disebutkan di dalam penyebab stress sering berlaku. Antara keinginan yang tinggi ini ialah seperti untuk lebih daripada orang lain. Oleh itu dalam keadaan-keadaan tertentu adalah lebih baik kita merenung sejenak dan meninjau golongan yang lebih fakir dan susah daripada kita. Penelitian dan pemerhatian seumpama ini sekurang-kurangnya dapat menyedarkan kita bahawa kita sebenarnya lebih bernasib baik dan lebih beruntung daripada mereka tersebut. Hal ini juga dapat memberikan ketenangan tentang pentingnya bersyukur.

    Secara keseluruhannya pemahaman tentang stress yang sering mendatangi kita adalah penting. Apabila kita faham tentang faktor-faktor yang menyebabkan stress dan bagaimana pula untuk mengurus stress, ia dapat memberikan kita celik akal bagaimana kedudukan kita sebagai pelajar. Jika kita berada dalam keadaan stress, apabila menghadapi peperiksaan, maka laksanakanlah cara-cara mengurus stress dengan baik.

    TEKNIK ATASI STRESS


    (a) Jumpa para profesional
    (b) Alih pandangan kepada yang releks
    (c) Gunakan teknik meditasi
    (d) Laksanakan latihan fizikal - Jalan 15 minit
    (e) Menyusun keutamaan tugas
    (f) Tulis perasaan / cakap dalam pita rakaman
    (g) Dapat sokongan emosi dari orang lain
    (h) Latihan pernafasan dalam
    (i) Mengurus masa
    (j) Mandi dalam air suam
    (k) Teknik besarkan situasi ke tahap tak masuk akal
    (l) Melihat dari segi positif
    (m) Menguasai kehidupan anda - menyelesaikan masalah
    (n) Terapkan semula matlamat yang realistik
    (o) Ingat peranan anda di dunia