Dasar baru benar mangsa eksploitasi pekerjaan kerja di Malaysia

13th January, 2012

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri kelmarin mengumumkan satu dasar baru membenarkan migran, yang menjadi mangsa eksploitasi pekerjaan dan ditempatkan di rumah perlindungan, untuk bekerja di Malaysia selepas dibebaskan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Lee Chee Leong, yang mengumumkan dasar itu bagi pihak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata mangsa mestilah memenuhi empat syarat ditetapkan sebelum mereka dibenarkan bekerja di negara ini.

“Syarat-syarat tertentu akan dikenakan terutamanya sebelum mangsa bersetuju, kebenaran daripada perwakilan diplomatik mereka, pengesahan bahawa keselamatan mereka tidak dapat dijamin jika kembali ke negara asal dan mereka telah memasuki negara ini secara sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Proses Bali Mengenai Perlindungan Kepada Mangsa Pemerdagangan Orang di sini, kelmarin

Menurut prosedur semasa, sebaik mangsa dibebaskan dari rumah perlindungan mereka akan kembali ke negara asal.

Lee berkata dasar baru itu menunjukkan kesungguhan Malaysia dan kemajuan berterusan ke arah penambahbaikkan perlindungan mangsa eksploitasi pekerjaan di negara ini.

Beliau berkata Malaysia juga akan mengkaji kemungkinan bagi mangsa pemerdagangan orang dibenarkan bekerja sementara dalam Perintah Perlindungan Interim (Sementara). Pada masa ini, mangsa penyeludupan melakukan kerja-kerja sementara di rumah-rumah perlindungan.

Terdahulu semasa berucap, Lee berkata negara anggota Proses Bali perlu melihat kepada pendekatan berpusat mangsa bagi menangani mangsa pemerdagangan orang, di mana identiti dan sokongan termasuk perlindungan bagi penjagaan lebih baik dan pemulihan diberikan pertimbangan penting.

-Sabahtimes