Bakteria H.Pylori dan Kanser Perut


Mudah cegah kanser perut





SESETENGAH pakar perubatan menganggap kanser perut atau kanser gastrik sebagai penyakit penduduk Asia berikutan catatan kes tinggi di Jepun, Korea, China dan Hong Kong — berkali ganda jumlahnya berbanding pesakit di Barat. Bahkan di Malaysia, kebanyakan kes kanser perut berlaku di kalangan pesakit berketurunan Cina.
Malangnya kanser perut, terutama pada peringkat awal, sering disalah anggap sebagai gastrik kerana kedua-duanya mempunyai gejala lebih kurang sama. Kanser perut adalah kanser malignan (yang boleh merebak) berasal daripada lapisan pelapik dalam perut.

Jenis kanser perut dikelaskan mengikut jenis tisu di mana sel kanser bermula; dan paling biasa (90 peratus) ialah adenokarsinoma — bermula daripada tisu glandular atau tisu pelapik. Jenis kanser perut lain ialah limfoma (membabitkan sistem limfa) dan sarkoma (bermula pada tisu penyambung seperti otot, lemak atau salur darah).

Kanser perut dikaitkan dengan pengambilan makanan banyak garam, contohnya jeruk sayur yang menjadi sajian wajib penduduk Jepun dan Korea tetapi sehingga kini, tiada kajian dilakukan untuk mengesahkan dakwaan itu.

Punca sebenar kanser perut masih tidak diketahui tetapi penyelidik dan pakar perubatan percaya ia ada kaitan rapat dengan jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori), kata Perunding Pembedahan Gastrointestin, Dr Ramesh Gurunathan.

Menurut Dr Ramesh, kanser perut menduduki tangga ketujuh daripada 10 kanser paling biasa di negara kita dengan anggaran 1,400 penduduk Malaysia mendapat kanser ini setiap tahun. Ia boleh berlaku pada sesiapa saja tetapi paling kerap dilaporkan di kalangan lelaki berumur 45 tahun ke atas. Jumlah kes paling tinggi dicatat ialah pesakit Cina (65 peratus) diikuti pesakit Melayu (25 peratus) dan India (10 peratus).

“Oleh kerana gejala peringkat awal kanser perut lebih kurang sama dengan gastrik, kebanyakan pesakit tidak memandang serius perkara ini. Ramai menyangka mereka mengalami gastrik dan membeli ubat di farmasi. Memang ubat gastrik boleh menghilangkan gejala sakit perut tetapi ia hanya sementara. Gejala sakit perut ini akan datang balik apabila pengambilan ubat dihentikan.

“Jangkitan H pylori mempunyai kaitan sangat rapat dengan kanser perut. Banyak kes kanser perut di Jepun disebabkan jangkitan bakteria ini. Bakteria H pylori dikelaskan sebagai karsinogen kelas pertama yang boleh menyebabkan kanser perut tetapi berita baiknya, ia mudah dirawat dengan pengambilan antibiotik dan rawatan hanya mengambil masa seminggu,” katanya.

Bakteria H pylori boleh tersebar melalui dua kaedah iaitu kitaran najis-ke-mulut atau mulut-ke-mulut. Dalam kaedah pertama, bakteria daripada najis boleh tersebar jika pembawa tidak mencuci tangan dengan bersih atau melalui air dan makanan tercemar. Kaedah kedua pula melalui air liur pembawa apabila terkena tangan, makanan atau air.

Jangkitan bakteria ini juga ada kaitan rapat dengan cara hidup seperti tinggal di tempat sesak, berkongsi katil dan kurang kebersihan.

Tidak seperti bakteria lain yang akan mati dalam keadaan berasid, bakteria H pylori boleh hidup dengan baik di dalam perut manusia. Ia membiak dan menyebabkan keradangan yang akhirnya merosakkan sel epitilium iaitu lapisan sel pada perut kita.

Lama-kelamaan keradangan ini semakin teruk dan mengakibatkan gastritis serta penyakit ulser dalam perut jika tidak dirawat segera. Walaupun badan menghasilkan antibodi, ia masih tidak berupaya menghapuskan bakteria ini dan jika dibiarkan, ia boleh mengakibatkan kanser perut.

Gejala awal kanser perut mempunyai kesamaan dengan gastrik iaitu:



  • Perut berasa kembung dan tidak selesa


  • Mual

  • Hilang selera makan

  • Pedih ulu hati

  • Mengalami masalah pencernaan (tidak hadam)


    Pada peringkat lebih serius, pesakit boleh mengalami gejala seperti:


  • Rasa tidak selesa pada bahagian atas abdomen (perut)

  • Najis mengandungi darah atau berwarna gelap kehitaman

  • Muntah (boleh mengandungi darah)

  • Berat badan menurun

  • Perut rasa kembung dan tidak selesa selepas makan

  • Ada benjolan pada abdomen (kadang kala)

  • Badan lemah akibat kurang darah (anemia)


    Siapa yang berisiko mendapat kanser perut? Semua orang boleh mendapat penyakit ini tetapi risiko lebih tinggi jika:

  • Lelaki (dua kali ganda berbanding perempuan)

  • Kurang mengambil sumber serat (sayur dan buah)

  • Mengamalkan pemakanan yang tinggi kandungan garam, jeruk atau bahan pengawet

  • Mengalami keradangan gastrik yang kronik

  • Pernah mengalami masalah polip gastrik

  • Mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser perut (yang boleh menyebabkan risiko menjadi dua atau tiga kali ganda)

  • Merokok

  • Mengambil terlalu banyak minuman beralkohol

    Diagnosis dan rawatan

    Menurut Dr Ramesh, biasanya kanser perut dikesan menerusi pemeriksaan fizikal. Pesakit mungkin mengalami gejala bengkak pada nodus limfa atau hati, peningkatan kandungan cecair dalam abdomen atau ada benjolan pada abdomen. Pemeriksaan biasanya dibuat berdasarkan aduan ketidakselesaan pesakit dan antara ujian dilakukan ialah:

  • Ujian sinar-X pada esofagus (kerongkong), perut dan bahagian pertama usus kecil selepas pesakit minum cecair pembeza untuk memudahkan doktor membuat pemerhatian

  • Gastroskopi dan biopsi — doktor akan melihat keadaan dalam perut menggunakan alat dipanggil gastroskop (dimasukkan melalui mulut ke dalam perut). Jika didapati ada yang tidak normal, doktor akan mengambil sedikit tisu pada bahagian itu untuk diperiksa. Ini kaedah terbaik untuk mengenal pasti kanser perut.

    Rawatan untuk kanser perut membabitkan beberapa kaedah sama ada pembedahan, kemoterapi dan radioterapi atau gabungan kaedah ini. Kanser perut pada umumnya sukar disembuhkan kecuali jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal sebelum ia merebak.

    Malangnya, kerana gejala peringkat awal kanser perut sering disalah anggap sebagai gastrik, kebanyakan kes hanya dikesan apabila kanser sudah teruk atau merebak ke bahagian lain badan.

    “Dalam pembedahan, biasanya doktor membuang bahagian perut yang diserang kanser. Namun, ia bergantung kepada lokasi kanser. Jika sel kanser di bahagian bawah perut, dua pertiga daripada perut akan dibuang. Jika kanser di bahagian atas perut, keseluruhan perut dibuang,” katanya.

    Bagaimanapun, pesakit tidak perlu risau kerana mereka masih boleh menjalani hidup dengan baik walaupun tiada perut. Perut adalah tempat pencernaan makanan berlaku. Apabila makanan masuk ke dalam perut, ia dihancurkan dan dipecahkan. Tidak perlu risau berlaku kekurangan zat kerana kebanyakan zat diserap apabila makanan memasuki usus kecil.

    Yang perlu dilakukan pesakit ialah mengubah tabiat makan dengan makan sedikit tetapi kerap. Melalui cara ini, makanan terus sampai ke usus dan penyerapan zat boleh berlaku seperti biasa.

    Oleh kerana kanser usus sukar disembuhkan, ada pakar mencadangkan supaya dilakukan saringan untuk kanser perut (dengan kaedah endoskopi) tetapi di negara kita, ia tidak praktikal kerana setiap ujian membabitkan kos tinggi iaitu RM800 hingga RM1,000 selain bilangan pakar sangat terhad.

    Kaedah lebih baik ialah mencegah jangkitan H pylori kerana ia secara tidak langsung mengurangkan risiko mendapat kanser perut.

    Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan H pylori ialah tidak berkongsi sudu, garfu atau kayu penyepit. Jika makan berhidang, sediakan senduk untuk setiap hidangan dan jangan ambil makanan menggunakan sudu untuk makan serta elak mengunyahkan makanan untuk anak kecil kerana ia boleh menjadi laluan pintas untuk jangkitan bakteria ini.